Make your own free website on Tripod.com

BERTANYA SARJAN PADA KOPRAL

 

Selamat pagi Jan

Assalamu’alaikum Kopral

 

Kau tahu Kopral ?

Ketika ibumu menonton Peristiwa Bukit Kepong

Merah membasah kelopak matanya

Meleleh cecair dari hidungnya

Basah habis sapu tangannya

Kerana hiba tak tertahan lagi

Kerana sayu sungguh rasa di hati

Kerana amat sedih dan pilu sekali.

 

Tak sangka begitu sekali hebatnya

Semangat juang anak bangsanya

Bangun menegakkan kedaulatan negaranya

Bangkit menpertahankan maruah bangsanya

 

Hebat …..

Hebat sungguh anggota keselamatan

Hebat sungguh polis kebanggaan

Hebat sungguh semangat perjuangan

Hebat sungguh suri teladan.

 

Kau tahu Kopral ?

Beriya benar ibumu dahulu

Kerjaya polis diharapkan darimu

Kerana dia amat-amat tahu

Mulia sungguh unifom itu

Hebat sungguh lencana itu.

 

Kerana dia akan berbangga

Kerana dia mahu bercerita

Ada dari zuriatnya

Yang akan mati ….

Sebagai seorang Kopral muda

Kalaupun tidak seorang Sarjan tua.

 

Kau tahu Kopral ?

Apa wasiat ibumu padaku ?

Waktu kau masih menggalas buku

Waktu nafas ibumu tidak menentu

 

Kau tahu ?

Dia minta ku sampaikan padamu

Dia mahu ….

kau berjasa pada rakyat

kau jaga keselamatan rakyat

kau perjuang keadilan buat rakyat

kau pertahan kehormatan rakyat

kau bela maruah rakyat

kau hormati aspirasi rakyat

kau kasih dan sayang pada rakyat

kau hidup bersama rakyat

 

Kau tahu ?

Dia minta sampaikan pesannya padamu

Dia mahu….

kau hapuskan musuh rakyat

kau musnahkan petualang rakyat

kau binasakan penyalahguna mandat rakyat

kau banteras perasuah pencuri harta rakyat

kau tangkap penyeleweng amanah rakyat

kau berkas penyamun wang rakyat

kau dakwa pembohong dan penipu rakyat

 

Dia mahu ….

kau berlaku adil pada rakyat

kau belaku benar pada rakyat.

 

Kau tahu ?

Dia mengharap….

kau sayang anakbangsa

kau hormat pada yang tua

kau kasih pada yang muda

 

Kau tahu ?

Dia menjangka ….

Rakyat akan sanjung kerjaya kita

Rakyat hormat kalau polis ada

Rakyat sambut bila polis tiba

Rakyat diam di kala polis bicara

Rakyat tahu polis boleh dipercaya.

 

Kau tahu Kopral ?

Betapa akan kecewa ibumu

Seandainya dia mendapat tahu

Begini sekali yang terjadi padamu

Begitu sekali tingkah prilakumu

Buruk sekali tanggapan rakyat padamu.

Hina sekali pandangan rakyat padamu

Kau tahu Kopral

Kenapa dulu-dulunya kita ..

Gelaran Dato’ diberikan

Yang berpangkat berTuan-Tuan

 

Kerana ….

Kerana bagi rakyat jelata

Kurang penghormatan bagi mereka

Kalau sekadar dipanggil bapa.

Kerana Dato’ itu lebih berwibawa

Encik bagi mereka biasa aja.

Kalau tuan kan hebat nampaknya.

 

Tapi kini Kopral …

Apa rakyat menggelar kita ?

Apa mereka panggil kita ?

Aku bagai tak percaya

Anjing-anjing layaknya kita

Israel dibangsakan kita

Babi-babi diumpamakan kita

Setan dinisbahkan perangai kita

Polis Mossad diserupakan kita

Polis Savak disamakan kita.

Yahudi dikata keturunan kita.

 

Tak terasakah hinanya kita

Bila …..

Polis SB orang bilang Siput Babi si Laknat

Polis FRU orang kata Kepala Merah Hati Batu

Polis PPH disebut Pasukan Polis Hantu

Polis Trafik adalah sikit baik

Walaupun mereka kata Pacak Ifrit

 

Kau tahu Kopral

Ketika anakmu di sekolah,

dia diejek teman sedarjah

dia dipandang indah tak indah

 

Kerana teman sekolahnya semua marah

setelah heboh satu sekolah,

cerita polis membelasah

hatta wanita tua yang tak bersalah

dipukul jua cucunya sampai berdarah-darah

ketika pulang dari membeli belah

ketika melintasi Jalan TAR yang dah basah

Cota dan rotan tiba-tiba singgah

Di kepala, di badan dan terus rebah

Bukan kerana merusuh atau buat salah

Tapi Polis dah borong semua salah.

 

Itulah cerita yang tersebar di seluruh lembah

Bumi Kuala Lumpur digenangi darah

Rakyat lemah yang enggan menyerah

Kepada kezaliman pemerintah

Meskipun hadapi polis yang serba salah

 

Kau tahu ….

Kawan-kawannya menjuih mulut padanya

Mereka membisik sesama menghina dirinya

Mereka menjauhi bila dia dekati mereka

Kerana mereka tahu secara nyata

 

Bapa kepada anakmu itu

Atau kawan kepada bapa anakmu itu

Terlibat memukul ibu bapa rakannya

Sehingga seminggu berdarahnya

Sehingga terganggu pendapatannya

 

Kau tahu kopral

Bila isterimu ke tempat kerja

Temannya menyendiri tak mahu bicara

Bila didekati mereka tiada bersuara

Mereka mengesyaki sesuatu darinya

 

Kerana mereka menyangka

Isteri polis mana-mana jua

Tak dapat menyimpan rahasia

Takut keluarga mereka teraniaya

Selepas diketahui apa-apa cerita .

 

Tak sakit jiwakah anak kita

Tak menderitakah isteri kita

Tak terasa malukah diri kita

Sampai bila hidup begini kita

Menjadi asing di dalam keluarga.

 

Patutkah Kopral

 

Kita terus hidup bermuslihat

Bersubahat dengan pemerintah jahat

Disuruh berkasar umpama penjahat

 

Meskipun ada polis tali barut

Yang tiada hati perut.

Bekerja jadi pak turut

Semata bermatlamat mengisi perut

 

Adakah patut?

 

Rambut wanita ditarik-tarik

Wanita mengandung ditolak diterajang

Muka yang licin disiku ditampar

Kepala bertopi dipukul cota

Orang berjalan disimbah asid

Orang bersolat dilempar gas

Orang makan disergah, disuruh pindah

 

Kereta parking diketuk cerminnya

Yang berlari dikejarnya

Yang berjalan dihalaunya

Yang duduk dipijaknya.

 

Apa bukan orangkah kau kopral ?

Beginikah caranya kita mencari makan?

Meminta ganjaran upah membelasah.


Kau tahu kopral

Bapa mu di kampung kepalang malu

Kesurau tiada lagi dia mahu

Kenduri jiran pun berat selalu.

Kalau mati pun mungkin tiada siapa tahu

 

Kau tahu kopral

Wang yang kau bawa pulang

Untuk susu anakmu

Untuk roti isterimu

Untuk nasi keluargamu

Malah untuk belanja haji bapamu,

Wang itu kopral …

Adalah upah memukul kepala

ibu saudaramu yang tak berdosa

 

Adalah upah menistiskan darah

anak muda yang mencari benar

 

Adalah upah memusnahkan harta

insan-insan lemah yang takut bersuara

 

Adalah upah menghenyak pak tua

yang bertongkat berpapah

 

Adalah upah memedihkan mata

mereka yang selama ini tersiksa

 

Wang itu Kopral…

Adalah upah

 

Dari seorang memanda

Dari seorang mamak bendahara

Dari seorang Maharaja

Dari seorang dewa

 

Yang ingin menjaga hartanya

Yang ingin mempertahan singgahsananya

Yang ingin menyusui wanitanya

Yang ingin menyelamat anak cucunya

 

Tergamak kamu mengambil upah darinya

Tergamak kau menelan nasi yang diberinya

 

Kau tahu Kopral ?

Tak akan senang hidupmu

Kalau rakyat membenci dirimu

Tak akan sejahtera hidupmu

Kalau Rakyat pandang serong padamu

Tak akan bahagia masa tuamu

Kalau kau sendiri memusuhi rakyat mu

 

Tak akan selamat rohmu nanti

Kalau rakyat berdoa sepenuh hati

Minta dibinasakan mereka yang membenci

Membenci perjuangan murni.

 

 

Kerana Allah berjanji

Doa yang dizalimi

Tiada hijab lagi

Antara Yang Esa dan yang mohon simpati,

Pasti termakbul segala yang dihajati

 

Amat benar janji Ilahi

 

 

 

Sarjan Tua

Kampong Melayu Kepong.