Make your own free website on Tripod.com
CERITA PAK AAD AYER HITAM DAN DR. MAHATHIR

Baru-baru ini berkesempatan balik kampung untuk jumpa sanak saudara. Di kampung heboh cerita Pak Aad Hitam sanggah Mahathir. Rupa-rupanya Pak Aad dah lama tunggu Dr. Mahathir melawat kawasan. Selepas majlis di Kolej Sultan Abdul Hamid, Dr. Mahathir balik kekawasan dan buat perjumpaan dengan rakyat Guar Napai. Oleh kerana ramai orang malu mata nak duduk sebelah PM di pentas utama, kesempatan ini digunakan oleh Pak Aad untuk meluru ke depan PM dan sempat meluahkan perasaan. Katanya ' Awat hang buat nyaya ke Anwar Ibrahim .Hang tuduh dia macam-macam. Tunggulah balasan dari Allah'. Mashaa Allah...rupa-rupanya orang kampung seperti Pak Aad pun tak percaya pembohongan Dr. mahathir yang telah dihebohkan ke seluruh dunia.
Mengikut orang kampung selepas peristiwa dengan Pak Aad PM juga dikejutkan oleh Imam Masjid Guar Napai yang patuh kepada peraturan sehingga tak benarkan PM berucap dalam Masjid kerana soal politik tidak boleh dicampur adukkan dengan soal agama. Mungkin kerana nak menyedapkan hati PM pun pergi pula berjumpa dengan Tuan Guru Murshid Dato' Hj. Ahmad Tajuddin di Pondok Melele dalam kawasan Parlimen Kubang Pasu. Khabarnya di sini juga PM telah beri isyarat bahawa zaman mempercayai kata-kata Dr. Mahathir telah berakhir. Mungkin kerana nak cari penawar dan nak tenangkan fikiran Dr. Mahathir pun dibawa berjumpa dengan Tuan Guru Haji Daak di Pendang. Tuan Guru ini kata dia pun tak boleh buat apa, pasal  runsing fikiran ni, kalau boleh pun cuma jampi air sejuk macam Dr. Harun Din juga. Dah tiga hari terbotoi dalam satu hari. Rupa-rupanya inilah yang menyebabkan wajah Dato' Seri Dr. Mahathir macam mencuka dan Tan Sri Sanusi kelihatan bengis semasa sidang akhbar dengan pemberita selepas majlis di Dewan Jitra.
Pada 26hb Oktober 1998 saya dikejutkan sekali lagi dengan berita Dr. Mahathir hadir di majlis perkahwinan anak perempuan Dato' Abu Bakar Taib, MP Langkawi, setiausaha Parlimen Kementerian Pertanian dan juga Ketua UMNO Bahagian Langkawi. Khabar ceritanya Dr. Mahathir dah bermain mata pula dengan Dato' Bakaaq yang pernah dimarahinya kerana tak ngam dengan Tan Sri Sanusi. Konon ceritanya Dr. Mahathir dah nak tukar angin pula untuk bertanding di Parlimen Langkawi kerana orang Kubang Pasu tak dapat dipercayai lagi. Apatah lagi Cikgu Nayan (Bekas Setiausaha Politik Tan Sri Osman Aroff) tengah pulun sakan bubarkan cawangan UMNO untuk ditukar dengan cawangan PAS.
Saya terus bertindak menghubungi sahabat lama UMNO di Langkawi, tanyakan sama benar PM nak lari ke Langkawi. Sahabat tadi jawab dengan penuh keyakinan katanya ' Eloklah orang Langkawi akan kuburkan Mahathir di sisi Legenda Mahsuri. Mahsuri mati kerana fitnah dan Mahathir mati kerana memfitnah'. Hebat ! Hebat ! Orang Langkawi pun mula sedaaq habaaq sejak Aziz Desa jadi orang terkenal di Malaysia. Sebenarnya mereka dah sepuluh tahun lebih tertipu oleh Mahathir dan kroninya Daim Zainudin. Langkawi dah jadi milik mereka.
 

KOMENTAR

1. Kalaulah orang-orang sejujur Pak Aad Hitam, Tuan Pak Aad Ayer Hitam, Tuan Guru Murshid Dato' Hj. Ahmad Tajudin di Pondok Melele dan Tuan Guru Hj. Abdul Razak di Pondok Pendang pun dah tak percaya lagi dengan Dr. Mahathir kenapa tuan-tuan dan puan-puan yang tak kurang bijaknya masih mempercayai pembohongan Dr. Mahathir.

2. Kepada ketua-ketua Bahagian UMNO dan Ketua Cawangan UMNO bertindaklah sekarang sebelum terlambat. Jangan menyesal nanti apabila rakyat menghukum anda pada Pilihanraya Umum yang menjelang pada Mac 1999. Rakyat sedang meneliti dan menilai telatah anda semua. Satu undi rakyat pada pilihanraya kali ini sangat berguna untuk menentukan kerajaan akan datang. Siapa lagi penyelamat anda jika Dr. Mahathir akan dikorbankan di Langkawi.

3. Kepada Pak-pak Menteri, Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen, Menteri-Menteri Besar, Eksko Kerajaan Negeri serta Yang Berhormat baru dan lama janganlah menangis dan mohon dikasihani jika kereta besar ditarik, rumah besar tergadai dan isteri besar bercerai menjelang fajar April 1999.

4. Percayalah ahli-ahli UMNO sekalian. Orang Kedah pernah membuktikan kejantananya dengan mengecewakan Dr. mahathir di Kota Setar Selatan, Tan Sri Mohamad Zahir Ismail (Speaker sekarang) di Kota Setar Utara dan allahyarham Dato' Senu di Kubang pasu. Oleh itu tidak mustahil Dato' Seri Dr. Mahathir dan Tan Sri Sanusi Junid akan disemadikan di Pulau Legenda bersama Al Marhumah Mahsuri. Mampukah orang langkawi korbankan Mahathir dan Sanusi ?

                        HAPUSKAN KEMUNGKARAN SEBELUM TERLAMBAT

Anak Jati Guar Napai
Kubang Pasu, Kedah Darulaman