Make your own free website on Tripod.com
KENYATAAN AKHBAR
18HB DISEMBER 1998

Dengan ini ADIL mengutuk dengan sekeras-kerasnya serangan udara Amerika Britain ke atas Baghdad, dan atas nama perikemanusiaan, ADIL menyeru supaya serangan itu dihentikan dengan serta merta.

Serangan udara hanya menambahkan lagi kepayahan berpanjangan yang dideritai oleh rakyat Iraq, apatah lagi ia berlaku di ambang bulan Ramadhan.  Serangan itu tidak akan melemahkan rejim Saddam Hussein, malah sebaliknya ia dapat memperkuatkan cengkaman kuasa beliau disebabkan ia menaikkan lagi pengaruh moral presiden itu.

Tindakan Washington melancarkan serangan udara tanpa kelulusan Bangsa-Bangsa Bersatu adalah bukti bahawa Amerika tanpa segan silu telah mencabuli prinsip-prinsip antarabangsa dan tidak peduli sama sekali terhadap kritikan dunia demi mementingkan agenda sendiri.

Tindakan ketenteraan adalah sesuatu yang tidak boleh diterima di waktu pintu penyelesaian konflik secara aman masih terbuka.  Sesungguhnya, waktu yang dipilih oleh Amerika bagi menyerang Iraq adalah amat mengejutkan, kerana hanya beberapa hari sahaja lagi, bulan Ramadhan yang mulia, bulan yang penuh dengan Rahmat dan Hidayah akan tiba, manakala Hari Krismas, hari yang melambangkan keamanan, akan menjelang seminggu lagi.
 
 

DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden
jawatankuasa Penaja ADIL