Make your own free website on Tripod.com
BADARUDDIN YAN- IMEJ JURUBICARA UMNO YANG MEMALUKAN

 
Bukan hanya rakyat di Yan sahaja, malah rakyat Malaysia juga turut malu dengan perilaku HAJI BADARUDDIN AMIRUDIN, Wakil Rakyat dari Yan yang menampilkan prilaku yang tidak layak dimiliki oleh seorang yang bergelar YANG BERHORMAT (YB). Sebagai YB, Badaruddin harus faham maksud perkataan YB yang diberi padanya. Wakil rakyat (WR) dipanggil YB kerana WR adalah satu-satunya individu dari sebilangan rakyat yang mendapat penghormatan dipilih untuk mewakili rakyat dalam menentukan dasar pengurusan negara disamping mempastikan rakyat dibawah jagaannya sentiasa dibela dan terjaga dalam aspek-aspek sosio-ekonomi. Dalam erti kata yang lain, WR adalah Pemimpin Rakyat.

Sebagai pemimpin, WR adalah contoh teladan, tempat rujukan dan tempat rakyat bergantung harap. Sebab itu WR dipanggil YB kerana orang menghormati dirinya atas contoh teladan yang ditunjukkan. Orang menghormati YB kerana pandangan yang didengar dari ucapannya serta keupayaannya membantu atau menolong rakyat. Tetapi jika WR sudah tidak berupaya menampilkan teladan yang baik, samada dalam kata-kata dan ucapannya atau dalam aspek perilakunya atau juga tidak punya pemikiran yang dapat diambil pakai, apalah maknanya gelaran Yang Berhormat yang diberikan kepadanya.

Seorang YB, harus menjaga dan mengawal perilaku dan turur katanya termasuk perkataan serta ungkapan yang digunakan dalam semua keadaan dan pada setiap ketika. Amatlah tidak layak bagi mana-mana pemimpin yang bergelar YB membiasakan dirinya dengan ungkapan-ungkapan atau gaya bahasa yang hanya biasa digunakan oleh kelompok "jalanan" atau "longkangan" .

Kegagalan Badaruddin Yan menampilkan perilaku yang baik dalam Parlimen baru-baru ini jelas menampakkan kualiti sebenar peribadi seorang tokoh UMNO yang dibangga-banggakan oleh orang UMNO itu. Sebenarnya kualiti Badaruddin tidak lebih dari seorang ketua "tukang sorak" (cheer leader) dipadang bola atau "penjaja ubat di pasar minggu" atau barangkali seorang "tukang karut" yang diminati dalam pertunjukan dikir barat.

Tukang sorak di padang memanglah hebat. Tapi dirinya sebenar bukanlah seorang yang boleh diharap untuk menentukan kejayaan pasukan bola sepak. Begitu juga dengan penjaja ubat yang hanya dilihat hebat ketika menceritakan ehwal ubat yang dibawanya. Dia sendiri bukan doktor atau bomoh yang berwibawa. Samalah juga dengan tukang karut yang memang pintar mengatur ayat yang mempesonakan peminat dikir barat. Sejauh manalah sangat yang boleh diharap dari seorang tukang karut untuk mempastikan berjayanya mesej yang dibawa dalam dikir baratnya itu. Ketiga-tiga watak ini punya satu keistimewaan yang barangkali dapat dimanfaatkan.Apa yang keluar dari mulut mereka itu pasti akan menyeronokkan dan mengembirakan. Manfaat yang lain masih boleh dipertikai. 

Barangkali Badarudin banyak belajar daripada pakar-pakar tersebut sebelum meletakkan dirinya sebagai calon Ahli Parlimen UMNO di kawasan Yan suatu ketika dulu. Kini setelah beberapa ketika berjaya menjadi YB, kualiti sebenar dirinya terserlah. Kalau itulah kualiti yang ada pada Badarudin, barangkali lebih banyak Tukang Sorak di stadium-stadium, Penjual Ubat di pasar-pasar malam atau Tukang Karut dipentas-pentas pertunjukan, yang lebih layak menggantikan Badaruddin sebagai Yang Berhormat.
 

Cucu Tok Nyan
Kampung Ruat,
Singkir, Yan, Kedah