Make your own free website on Tripod.com
Soalan & Jawapan
Apa perlunya Sebuah Pergerakan Reformasi
 

Secara soal-jawab Presiden ADIL, Datin Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail, cuba menerangkan beberapa isu yang menjadi cabaran pada pergerakan reformasi.
 

1.  Perdana Menteri, Dato' Seri Dr. mahathir telah mencabar para pejuang Reformasi supaya menubuhkan parti politik. Mengapakah cabaran itu tidahk disambut ?

Kami tidak menari ikut gendang PM. Kami ada cara sendiri
 

2.    Mengapa ditubuhkan pergerakan Reformasi, bukan parti politik ?

Perjuangan Reformasi melampaui sempadan parti politik. Ahli-ahli parti kerajaan dan parti pembangkang sama-sama mahukan pembaharuan. Inilah faktor yang mendorong kami menubuhkan pergerakan Reformasi bagi menyatukan semua pihak. Lagipun, mereka yang masuk parti politik adalah sebahagian kecil sahaja dari seluruh rakyat, manakala rakyat yang mahukan pembaharuan adalah lebih besar bilangannya. Dia antara mereka adalah termasuk kakitangan dan pegawai kerajaan awam yang lazimnya tidah aktif dalam politik. Pergerakan ini menjadi wadah bagi mereka, dan pihak-pihak lain seperti mereka, untuk ikut serta dalam perjuangan murni ini. Oleh kerana ADIL akan didaftarkan sebagai persatuan dibawah Akta Pertubuhan, setiap kakitangan kerajaan boleh menjadi ahlinya.
 

3.    Kalau ADIL bukan parti politik, dapatkah ia mencipta perubahan politik ?

Sebelum kita mampu mencipta perubahan politik, kita perlu memahami persoalan-persoalan asas seperti hak asasi manusia, pemerintahan berdasarkan lunas undang-undang, pemerintahan berdemokrasi dan lain-lain isu seperti itu. Pergerakan kami berusaha memberi penjelasan kepada rakyat dan meningkatkan kesedaran politik mereka supaya mereka dapat memahami dan bersedia menerima perubahan politik.
 

4.    Adakah itu bermakna ADIL tidak akan masuk politik, bahawa ADIL belum bersedia menawarkan alternatif politik kepada rakyat ?

Apabila misi pergerakan reformasi ini mendapat sokongan meluas daripada rakyat dan mereka mendesak mahukan ADIL bergiat dalam politik, kita kan menyambut seruan mereka. Kami akan penuhi tuntutan itu.
 

5.    Apa maksudnya ? Adakah ADIL akan menjadi parti politik?

ADIL ditubuhkan sebagai sebuah pergerakan Reformasi. Masa depan dan rupabentuk pergerakan ini sangat dipengaruhi oleh tuntutan rakyat.
 

6.    Adakah ADIL akan mengemukakan calon-calonnyan dalam pilihanraya akan datang ? Adakah calon-calon ADIL akan bertanding di bawah bendera parti lain ?

Pada masa ini masih terlalu awal untuk bercakap tentang langkah ADIL dalam pilihanraya akan datang. Bila kita sampai ke sungai nanti, kita akan seberanginya. Buat masa ini ADIL akan bekerjasama dengan semua parti politik, NGO dan lain-lain kumpulan serta individu yang memperjuangkan keadilan dan demokrasi. Jikalau UMNO dan Barisan Nasional cenderung ke arah itu, kita bersedia bekerjasama dengan mereka. Saya yakin ramai ahli UMNO dan parti komponen Barisan yang amat prihatin dengan apa yang sedang berlaku dalam negara kita hari ini. Mereka juga inginkan sebuah masyarakat yang adil di mana tidak wujud pemerintahan kukubesi dan penyalahgunaan kuasa.
 

7.    Seorang bekas tahan ISA, En. Malek Hussein telah menjadikan dirinya sebagai jurucakap kepada pergerakan Reformasi dan membuat kenyataan pergerakan ini yang menubuhkan parti politik.

Berdasarkan apa yang berlaku hari ini, jelaslah bahawa kita melancarkan sebuah pergerakan Reformasi di luar politik parti. Kami mempersilakan En. Malek Hussein dan yang lain-lain ikut serta dalam pergerakan kita.
 

8.    Mengapakan nama ADIL yang dipilih, bukan REFORMASI ?

Nama ini melambangkan kedua-duanya. Reformasi ialah prosesnya. Keadilan sosial ialah matlamatnya.
 

9.    Sebagai pergerakan Reformasi, apakah sikap ADIL kepada GERAK dan GAGASAN ?

Kami menyanjung matlamat GERAK dan GAGASAN. Apa yang dilakukan oleh kedia-dua gabungan itu adalah baik. Pergerakan Reformasi kami akan bekerjasama dengan mereka demi keadilan.
 

10.    Jika GERAK, GAGASAN dan lain-lain kumpulan bergiat ke arah matlamat yang sama - iaitu reformasi demokratik dan keadilan sosial - apa perlunya satu lagi kumpulan lain yang bernama ADIL.

Memang benar kumpulan-kumpulan lain berjuang ke arah masyarkat yang lebih adil, namun dengan pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim daripada kerajaan dan parti, dan kemudian diikuti dengan penangkapannya, peristiwa itu menyebabkan kelas menengah dan golongan pekerja yang selama ini tidak berkomitmen pula mempunyai kesedaran politik dan mulai aktif. Malah, kesedaran itu sudah merebak ke seluruh pelusuk masyarakat luar bandar. Mereka mulai sedar akan isu-isu hak asasi manusia dan keadilan pertubuhan yang selaras dengan hasrat mereka, yang memperjuangkan cita-cita dan azam mereka. Disinilah letaknya peranan pergerakan kami. Ia mengisi suatu kekosongan.
 

11.    Apakah pendirian ADIL terhadap para penunjuk perasaan Reformasi? Adakah ADIL menyokong tunjuk perasaan mereka? Adakah ADIL menyokong kekerasan?

ADIL membela hak rakyat untuk berhimpun secara aman. Hak ini bukan sekadar termaktub di dalam Piagam Sedunia Hak Asasi Manusia, ia juga termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia. Rakyat Malaysia yang cintakan negara, yang prihatin tentang keadilan dan kesaksamaan, yang berhimpun di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kampung Baru dan tempat-tempat lain, mereka berhak berhimpun secara aman. Kamu tahu bahawa mereka tidak mencetuskan sebarang keganasan yang mungkin telah berlaku. Mereka yang bertanggungjawab mencetuskan keganasan itu adalah mereka yang membelasah para penunjuk perasaan itu; mereka yang menggunakan bom air dan gas pemedih ke atas mereka yang sebenarnya hanya mengamalkan apa yang menjadi hak mereka iaitu berhimpun secara aman. ADIL mengutuk sebarang kekerasan, tanpa mengira pihak mana yang melakukannya. Di dalam Perisytiharan dan Kenyataan Akhbar kami, di mana kami mengumumkan kelahiran pergerakan Reformasi ini, dengan jelas dan terang kami menyatakan bahawa kami memperjuangkan Reformasi melalui cara-cara yang aman dan demokratis.
 

12.    Bagaimanakah ADIL membiayai aktivitinya?

ADIL bergantung kepada sumber-sumber para penyokongnya dari dalam negeri. Sesebuah pergerakan reformasi Malaysia akan berjaya di atas sokongan moral dan material seluruh rakyat Malaysia. Kami yakin rakyat Malaysia akan menyumbangkan sumber-sumber kewangan kepada pergerakan ini.
 

13.    Apakah aktiviti yang akan dijalankan oleh ADIL?

ADIL cuma dapat menjalanka aktivitinya selepas ia didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan. Sementara itu ADIL akan menyertai program yang dianjurkan oleh NGO dan pertubuhan lain yang berkongsi perjuangan kami. Sebagai permulaan ADIL sudah menerbitkan halaman webnya sendiri. Alamatnya ialah http://members.easyspace.com/reformasi. Melalui laman web ini, kami mengalu-alukan semua rakyat Malaysia yang menyokong ADIL dan Reformasi datang ke depan dan mendaftarkan sokongan mereka. Pergerakan Reformasi kami juga akan menghulurkan bantuan dan pertolongan kepada mereka yang menjadi mangsa kezaliman politik dan penindasan. Kami akan mendokumenkan pencabulan hak-hak asasi manusia yang dicetuskan oleh krisis hari ini. Sebagaimana yang sudah diumumkan di dalam Kenyataan Akhbar dan Perisytiharan ADIL, kami akan mengemukakan analisis mendalam berkenaan krisis ekonomi sekarang disertai dengan cara-cara menyelesaikannya. Bagi mencapai matlamat ini, kami akan menubuhkan suatu pasukan petugas khas ekonomi.
 

14.    Dapatkan pendaftaran ADIL segera diluluskan?

 Kami akan mengemukan permohonan pendaftaran ADIL di bawah Akta Pertubuhan secepat mungkin. Kami akan pastikan pihak Pendaftar Pertubuhan tidak mempunyai sebarang alasan menolak permohonan kami. Berdasarkan semangat demokrasi yang termaktub dalam Perlembagaaan Malaysia, kami percaya kerajaan akan mengeluarkan sijil pendaftaran ADIL dan dengan itu kami dapat bergerak secara sah. Makin cepat permohonan kami diluluskan, makin baik untuk semua pihak.
 

15.    Adakah ADIL akan melibatkan rakyat biasa dalam aktivitinya ?

Ya, inilah salah satu tujuan utama ADIL. ADIL akan menjadi suatu Pergerakan yang menjadi cita-cita dan perjuangan rakyat sebagai akar umbinya. Oleh itu ADIL akan menubuhkan cawangan di seluruh negara. Dengan cara ini semua lapisan rakyat berpeluang melibatkan diri dan mendukung perjuangan ini.
 

16. Apakah harapan masa depan Datin Seri ?

Sepanjang tiga bulan ini, sejak penangkapan Anwar Ibrahim, kita telah menyaksikan apa yang sebelumnya tidak pernah terjadi, iaitu perjuangan untuk menegakkan keadilan. Perjuangan menuntun keadilan ini adalah suatu lembaran baru dalam sejarah negara kita. Kita berdoa, dengan sokongan sebuah pergerakan Reformasi dan kumpulan-kumpulan lain, kita berjaya mencipta suatu fajar baru - fajar kebebasan dan keadilan yang akan menyinari negara kita tercinta.