Make your own free website on Tripod.com
 
AKADEMI SAINS ISLAM MALAYSIA(ASASI) 
 
 
Kedudukan GENTING
Bahasa, Budaya Sains dan Teknologi (S & T)
dan
Nasib Warga Melayu-Islam
Di Bawah Naungan Akta Pendidikan Tajaan Mahathir
Penyataan Perspektif dan Latar Belakang
 

Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI) melihat Akta Pendidikan 1995, Akta Pendidikan dan Kolej Universiti 1995, Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 dan Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara 1996 mengikut perspektif yang berikut:

 
1. Pembudayaan S & T yang serasi dengan etika dan akal budi/kosmologi Melayu-Islam

2. Penguasaan S & T di kalangan warga Melayu-Islam

3. Perserataan prasarana S & T di kalangan warga Melayu-Islam
 

ASASI melihat kewibawaan keempat-empat Akta pendidikan tersebut dalam menentukan nasib dan ketahanan warga Melayu-Islam dalam S & T terletak kepada keupayaan gagasan Akta-akta itu memupuk, memelihara, menjamin dan mengukuhkan ketiga-tiga premis di atas. Suatu hal yang jelas ialah betapanya pembudayaan, penguasaan dan perserataan S & T di kalangan warga Melayu-Islam bersimpul rapi dengan ikatan daulat bahasa dan maruah bangsa. Sebarang kelonggaran usaha atau kemalapan isyarat dalam mendaulatkan bahasa dan juga dalam menjaga kedudukan maruah bangsa akan melepaskan gelombang yang akan menghakis perlaksanaan dan kejayaan ketiga-tiga premis tersebut.

Beberapa pengamatan awal mengenai sebahagian daripada akta tersebut telah dibuat oleh beberapa tokoh ilmuwan. Antaranya ialah Zainal Abidin bin Abdul Wahid (Dato’dan mantan Profesor sejarah, UKM) yang mengupas tentang senario kedudukan bahasa Melayu pasca-akta pendidikan tersebut dalam dua buah risalahnya (‘Pendidikan, Bahasa dan Masa Depan Malaysia. Akta-Akta Pendidikan 1995 dan 1996: Kesannya terhadap Bangsa dan Bahasa Melayu serta Perpaduan Kebangsaan’ terbitan PKPIM, dan, ‘Pendidikan, Bahasa dan Masa Depan Malaysia. Apakah Kesan Akta-Akta Pendidikan 1995 dan 1996 terhadap Pendidikan Aliran Melayu dan Kedudukan Ekonomi Bangsa Melayu serta Kebudayaan Kebangsaan?’ terbitan PKPIM & PLM) yang telah tersebar luas. Selain itu, Shaharir bin Mohamad Zain (Prof. Matematik fizik di UKM, dan Presiden ASASI), juga telah meneliti dengan kritisnya Akta tersebut, khususnya daripada sudut persoalan ikatan Bahasa Melayu dan kejayaan pembudayaan S & T negara dalam Syarahan Raja Ali Haji tahun 1996 (‘Pembangunan sains dan Teknologi di Malaysia Menerusi Bahasa Melayu’, diterbitkan oleh PLM). Shaharir juga turut mengulas mengenai kedudukan kuasa Menteri dan isu kedudukan Bahasa Melayu dalam satu makalah yang lain (‘Ulasan tentang Kedudukan Bahasa Melayu setelah Akta Pendidikan 1995 dan Akta IPT 1996 dilukluskan’). Rohani binti Rahim (1997) pula, seorang Pensyarah undang-undang di UKM, telah meneliti Akta Pendidikan 1996 daripada segi sudut guaman akademik yang juga telah tersebar luas pada tahun 1997 (‘Akta Pendidikan 1996: Suatu Tinjauan Perundang-undangan’ terbitan PLM). Antara lainnya beliau berhujah bahawa Akta Pendidikan ini bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia. Di samping itu rombongan demi rombongan, memorandum demi memorandum dari pelbagai pihak badan bukan kerajaan dan individu kepada pihak menteri Pendidikan dan kepada Perdana Menteri (PM) dan TPM telah dibuat. Rata-rata mereka ini mendapat isyarat dan mafhumnya akan hakikat kegawatan isu-isu Melayu-Islam akibat daripada Akta-Akta itu ialah kerana Akta itu direka bentuk sedemikian rupa supaya memenuhi cita rasa dan kehendak pucuk pimpinan negara, Dato’ Sri Dr. Mahathir, sahaja. Kumpulan-kumpulan yang prihatin kepada ketersasarannya motif, hasrat dan falsafah baru dalam Akta-Akta pendidikan ini akhirnya hanya mampu menenangkan fikiran dan kegejolakan jiwanya menerusi keceriaan, kelembutan dan ketegasan pendirian Dato’ Sri Anwar Ibrahim tentang isu bahasa, kebudayaan dan nasib Melayu-Islam pada amnya, yang diartikulasikannya pada setiap kesempatan yang ada padanya. Mereka cuba meyakinkan diri masing-masingnya pada masa itu bahawa isu ini adalah isu sementara sahaja, iaitu sementara Dato’ Sri Dr. Mahathir belum menerima ilham untuk menyerahkan tampuk pemerintahan negara ini kepada Timbalannya itu, yang dewasa itu dianggarkan tidak berapa lama sahaja lagi. Mereka memang menunggu dengan penuh debar dan harapan. Tetapi harapan mereka itu akhirnya meleset juga kerana impian-impian itu kini sudah menjadi impian ngeri dan berkecai. Kini kumpulan bahasawan, budayawan, dan Islamis tentunya terpaksa menarik nafas panjang dan memulakan perjuangan baru semula.

Sesungguhnya pengamatan dan reaksi-reaksi awal tersebut telah membangkitkan beberapa kekhuatiran mengenai keupayaan keempat-empat Akta tersebut menangani soal kedaulatan Bahasa Melayu. Kekhuatiran tersebut dengan sendirinya mencuit ketiga-tiga premis yang dinyatakan tadi dan soal nasib orang Melayu-Islam amnya dalam S & T. Pengamatan tersebut turut membangkitkan beberapa senario kritis yang sekiranya dialpakan mungkin sahaja mengakibatkan nasib dan maruah bangsa dalam pendidikan dan S &T menjadi cemas dan parah. Suatu hal yang jelas ialah senario tersebut mengajak kita meneliti dampak jangka pendek dan jangka panjangnya akan Akta-akta tersebut dengan lebih kemas dan rapi lagi. Soal, misalnya, peranan bahasa dalam menentukan kejayaan ketiga-tiga premis tersebut dan nasib Melayu-Islam dalam S & T harus dimengerti serta dihalusi daripada sudut yang sedalam-dalam dan seluas-luasnya.

Maka ASASI sebagai sebuah organisasi ilmiah bukan kerajaan yang memperjuangkan pembudayaan, penguasaan dan perserataan S & T yang serasi dengan akal budi murni Melayu-Islam semenjak hampir tiga dasawarsa yang lalu merasa terpanggil untuk mengketengahkan lagi beberapa soal penting yang menyentuh nasib dan maruah Melayu-Islam dalam S & T yang dikaitkan dengan Akta-Akta Pendidikan itu. Antara soal tersebut ialah hubungan kejayaan pendidikan S & T warga Melayu-Islam dengan kejayaan Bahasa Melayu sebagai wahana pendidikan dan wacana unggul S & T di rantau ini. Hubungan tersebut telah melahirkan beberapa ungkapan atau penyataan, antaranya, yang telah diangkat ke tahap mitos maksum. Hanya ada antara mitos-mitos tersebut mampu menyekat kejayaan bahasa dan nasib S & T Melayu-Islam. Untuk tujuan tersebut ASASI ingin membawa mitos-mitos seperti itu kepada penguraian dan penelitian kanta ilmiah.

Mitos Bahasa Inggeris dan S & T
Berikut ialah beberapa mitos utama kini yang berkaitan dengan peranan bahasa Inggeris dalam S & T:

Mitos I: Bahasa Inggeris bahasa sains dan teknologi.

Peranan Bahasa Inggeris dalam perkembangan S & T adalah suatu fenomenon yang agak baru. Peranan bahasa Inggeris dalam perkembangan S & T moden hanya baru mencecah dua abad. Itu pun sekiranya kita membelakangkan fakta sejarah dengan sengaja mengecilkan peranan bahasa Eropah lain seperti Perancis, Jerman dan Rusia dalam perkembangan S & T moden. Peranan bahasa tamadun besar lain seperti bahasa Mesir, Yunani, Hindi, Cina dan Arab dalam sejarah perkembangan S & T purba dan klasik pada umumnya telah bertakhta sebagai wahana wacana terunggul antara tujuh hingga sepuluh abad. Apabila dipadankan dengan Bahasa Inggeris, kita akan dapati bahawa bahasa tersebut belum lagi dapat mendakwa keunggulan mutlak daripada segi tahap dan peranannya dalam perkembangan S & T sebagai setanding dengan bahasa-bahasa tamadun besar dunia yang lampau, terutamanya bahasa Yunani dan Arab.

Pendedahan awal warga Melayu-Islam kepada S & T moden berlaku melalui wahana dan wacana Bahasa Inggeris. Pendidikan kolonial mengutamakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar ilmiah dan meminggirkan bahasa ibunda lain dalam bidang ilmu serta urusan rasmi. Buku-buku S & T dalam Bahasa Inggeris memasukkan sentimen Inggerisofili, antaranya dengan membesar-besarkan peranan tokoh S & T Inggeris berbanding dengan tokoh dari negara lain. Sejarah perkembangan S & T moden telah merakam beberapa pencangahan dan perbahasan hangat mengenai dakwaan dalam hal pengasas sesuatu penemuan sains atau teknologi. Britain dengan negara Eropah yang lain pernah berkelahi beberapa kali mengenai isu perintis dalam penemuan sains, dan yang paling terkenal ialah yang melibatkan tokoh sains Inggeris terkemuka Isaac Newton dan tokoh sains bangsa Perancis-Jerman, Leibniz tentang kalkulus. Perkelahian seperti ini berlaku dalam banyak bidang lagi terutamanya antara Eropah Timur dengan Barat (dahulunya blok komunis dengan blok bukan komunis) malah dengan Jepun. Bahkan baru-baru ini ahli sains Perancis dan Amerika Syarikat pula telah berkelahi mengenai siapa yang pertama menemui virus AIDS. Hakikatnya ialah dalam sejarah S & T berlaku berulang-ulang kali penemuan S & T yang serentak oleh dua atau lebih orang di beberapa tempat yang terpisah. Ini telah diterima sebagai satu hukum dalam sosiologi ilmu pengetahuan. Contoh konkret lagi daripada sejarah sains yang unggul ialah penemuan serentak "hukum Boyle" oleh Boyle dan Marriotte. Begitu juga penemuan serentak mengenai hubungan sifat unsur dengan berat atom oleh ahli sains di England (Newland), Jerman (Lothar-Meyer) dan Rusia (Mendeleev),dan oleh itu perkelahian tentang penemuan konsep jadual berkala. Dalam hal penemuan ini, misalnya, buku-buku S & T dalam bahasa Inggeris semasa itu mengketengahkan peranan Newland, manakala di Jerman, Lothar-Meyer dianggap pengasas ulung manakala di Rusia hanya nama Mendeleev dikenali manakala nama dan peranan Newland dan Lothar-Meyer langsung tidak diketahui oleh masyarakat sains Rusia. Sentimen seperti itu adalah suatu yang lumrah dalam pencaturan maruah bangsa dan negara, walaupun perkara ini melibatkan penegasan kebenaran sejarah yang sekerat-sekerat. Namun, perkara yang tidak harus dilupakan ialah betapa kegiatan-kegiatan S & T di negara-negara yang menjadi persaingan S & T ini, umpamnya di negara-negara yang dikelaskan sebagai negara maju sekarang (atau G7) seperti Jerman, Perancis, Italia, Rusia dan Jepun tidak dijalankan dalam bahasa Inggeris yang serng menutup mata hati kita tentang sejarah tamadun manusia selama ini. Penemuan S & T di Perancis, Jerman, italia, Rusia, Jepun dan lain-lain negara yang kaya dengan S & T itu bukan disebabkan Bahasa Inggeris dijadikan wahana ilmiah dan media wacana eksklusif S & T. Di samping itu penemuan-penemuan sains pada abad ini terus-menerus berlaku dengan banyaknya di dalam bahasa-bahasa bukan bahasa Inggeris, sama ada di Eropah atau di Jepun. 

Pendidikan S & T dan proses pembudayaan awal S & T di kalangan warga Melayu-Islam pada zaman kolonial Inggeris memusatkan sentimen Inggerisofili yang berkisar kepada pendaulatan Bahasa Inggeris dan agenda maruah bangsa Inggeris dalam S & T. Mitos bahasa Inggeris bahasa teknologi berpunca daripada sentimen tersebut. Malangnya pendidikan S & T pasca-merdeka meneruskan sentimen ini terutamanya dalam sekolah dwialiran Inggeris dan Melayu. Hakikat inilah juga yang bukan sedikit memberi sumbangan kepada pengukuhan pandangan kurang kritis sesetengah para pemimpin dan golongan elit kita kini mengenai peranan Bahasa Inggeris dalam S & T.

Mitos II: Peranan bahasa di semua peringkat S & T dan pendidikan S & T adalah seragam.

Peranan bahasa dalam kerangka ilmu sains dan teknologi adalah seperti peranan bahasa dalam bidang-bidang lain. Antara peranan utama tersebut ialah bahasa sebagai komunikasi makna dan maksud, serta bahasa sebagai rakaman fakta dan pengantar teori.

Tanpa pergi ke tahap kupasan epistemologi yang tinggi, bahasa di peringkat rendah mempunyai komponen semantik yang lebih berbanding dengan bahasa sains pada peringkat tinggi. Bahasa S & T yang digunakan pada peringkat awam, peringkat sekolah dan pra-siswazah pada umumnya melibatkan bahasa sains peringkat rendah. Daripada segi pembinaan teori, penjelasan dan pendidikan sains, bahasa peringkat rendah mempunyai peranan yang penting. Kepentingan ini terbit daripada dimensi semantik yang tinggi yang perlu bagi memesrakan faham-faham sains dalam konteks kosmologi dan budaya fikir yang tertentu. Keserasian faham sains daripada barat dengan budaya fikir Melayu-Islam dan kosmologi Islam adalah jelas bukan pada kadar seratus peratus. Namun keserasian seratus peratus bukanlah matlamat dalam konsep pembudayaan S & T kita. Pembudayaan S & T kita didukung oleh hasrat menyerap unsur sains yang serasi dan budaya fikir Islam dan juga akhirnya menghasilkan teori dan model sains yang lahir daripada budaya fikir Melayu-Islam. Wahana utama yang membolehkan kita menghasilkan model dan teori sains yang unggul dan serasi dengan kosmologi Islam di Malaysia ini (malah di Nusantara ini) ialah bahasa Melayu. Antara faktor kenapa hal ini lebih mudah direalisasikan melalui wahana dan dalam konteks bahasa Melayu ialah kerana bahasa Melayu ialah bahasa kosmologi fitri Melayu dan bahasa Melayu mengandungi dimensi semantik dan ikatan etimologi dengan budaya fikir Melayu-Islam.

S & T di tahap tinggi pula melibatkan pengukuhan teori dalam bentuk bahasa S & T peringkat tinggi. Bahasa tersebut pada peringkat ini mempunyai komponen sintaksis yang lebih tinggi. Komponen sintaksis ini biasanya dimanifestasikan dalam bentuk formula-formula kuantitatif atau persamaan matematik. Bahasa pada peringkat ini mempunyai unsur kesejagatan yang tinggi kerana formula kuantitatif dan persamaan matematik sintaksis adalah sama tidak kira ditulis dalam konteks bahasa apa sekalipun. Oleh itu para ahli sains Melayu-Islam dapat memahami formula dan persamaan tersebut sama ada ditulis dalam bahasa Melayu ataupun bahasa Inggeris. Bahkan sekiranya formula sintaksis S & T dilafaz dalam konteks bahasa Rusia sekalipun akan masih dapat difahami oleh para ahli sains Melayu-Islam.

Wacana sains pada peringkat tinggi pada umumnya lebih melibatkan penggunaan formula dan persamaan matematik. Penggunaan bahasa semantik adalah pada peringkat yang paling minimum. Bahkan pertukaran maklumat sains antara bangsa dan antara budaya pernah dilakukan tanpa melibatkan bahasa semantik peringkat rendah iaitu dengan hanya melalui komunikasi bahasa sintaksis matematik dan formula. Kemuncak dan contoh terbaik bahasa sintaksis ialah bahasa mesin yang digunakan dalam komputer. Bahasa mesin langsung tidak melibatkan dimensi semantik bahasa budaya manusia, walau peringkat pembinaannya memang dipengaruhi oleh semantik bahasa ahli sains berkenaan. Tegasnya, bahasa S & T pada peringkat rendah mempunyai peranan yang berbeza daripada peringkat tinggi. Oleh yang demikian, dalam konteks pembudayaan S & T di kalangan warga Melayu-Islam, bahasa Melayu adalah amat penting berbanding dengan bahasa lain, termasuk bahasa Inggeris. Hal ini adalah amat benar tanpa mengambil kira bahawa bahasa Melayu ialah wahana tabii kerana sifatnya sebagai bahasa ibunda kebanyakan muslim di Malysia ini, dan pula telah pun turut dikuasai oleh bangsa lain dalam negara ini.

Mitos III: Kejayaan pembudayaan S & T bergantung kepada kejayaan penguasaan bahasa Inggeris

Kejayaan pembudayaan S & T bergantung kepada keserataan dan keluasaan wahana bahasa. Bahasa yang terhad dan bersifat elitis tidak mungkin dapat membudayakan sains dengan jayanya di kalangan masyarakat. Hanya bahasa yang meluas atau wahana komunikasi utama masyarakat tersebut mampu menjadi penyalur utama pembudayaan S & T.

Kenyataan (realiti) penggunaan bahasa Inggeris semasa di negara ini menunjukkan bahawa bahasa tersebut hanya mampu menjadi wahana pembantu pembudayaan. Ini pun dalam konteks yang terhad. Pembudayaan seluruh seperti yang difahami dalam konteks premis paradigma pembudayaan S & T dalam wawasan negara dan yang turut didukung oleh ASASI tidak mungkin boleh tercapai melalui bahasa asing. Oleh itu usaha pembudayaan atau kejayaan pembudayaan yang menepati hasrat kebangsaan Melayu-Islam hanya mungkin tercapai melalui bahasa Melayu.

Kesangsian terhadap kemampuan bahasa Melayu sebagai wahana wacana unggul S & T tidak seharusnya timbul pada tahap kini. Penggunaan bahasa Melayu dalam pendidikan peringkat rendah dan universiti telah terbukti berkesan semenjak tahun 1970-an. Penubuhan fakulti S & T di Universiti Kebangsaan membuktikan sejak awal 1970-an dahulu lagi, dan diikuti oleh semua universiti di negara kita ini sekurang-kurang sejak 15 tahun dahulu lagi menunjukkan dengan jelasnya akan kemampuan bahasa Melayu sebagai wahana pembudayaan S & T. Istilah dan wacana S & T mampu dijalankan dengan licin bukan sahaja pada peringkat pendidikan pra-siswazah bahkan pada peringkat pasca-siswazah. Para siswazah S & T yang dididik melalui wahana bahasa Melayu telah berjaya menjadi ahli sains dan teknologi yang berjaya. Soal kesediaan dan kemampuan bahasa Melayu dalam membudayakan S & T telah terjawab dengan jelas sekali oleh bukti empirik tentang keupayaan bahasa Melayu dalam pendidikan S & T kini pada semua peringkat.

Mitos Bahasa Melayu dan S & T
Berikut pula ialah beberapa kelompok mitos utama berkaitan dengan kedudukan bahasa Melayu dalam pembudayaan S & T:

Mitos IV: Bahasa Melayu bukan faktor kritis dalam pembudayaan S & T

Sekiranya pembudayaan S & T bermaksud hanya meramaikan mereka dari kalangan warga Melayu yang memegang ijazah S & T, maka bahasa Melayu bukan faktor kritis. Sekiranya pembudayaan S & T bermaksud hanya sekadar meramaikan pekerja mahir bagi kilang-kilang asing di Malaysia ini, maka bahasa Melayu bukan faktor kritis. Sekiranya pembudayaan S & T bermaksud hanya sekadar mengisi kuota bumiputra dalam S & T, maka bahasa Melayu bukan faktor kritis.

Meramaikan pemegang ijazah S & T, menyediakan pekerja mahir dan mengisi kuota bumiputra merupakan matlamat jangka pendek yang sekali-kali tidak dapat disamakan dengan proses pembudayaan. Pembudayaan S & T melibatkan matlamat yang melangkau kesemua itu. Pembudayaan, antara lain, berlaku apabila budaya fikir sesuatu bangsa itu dapat mecerna S & T dalam sistemnya dan melahirkan S & T yang fitri dan serasi dengan kosmologi dan pandangan alam bangsa tersebut. Pembudayaan dalam faham ini mensyaratkan wahana dan wacana unggul S & T-nya dalam bahasa ibunda bangsa tersebut atau bahasa kebangsaan yang paling sesuai dengan sesebuah negara-bangsa itu. Mengikut fahaman inilah maka bahasa Melayu ialah faktor kritis pembudayaan S & T.

Mitos V: Bahasa Melayu faktor pelewat penguasaan S & T jangka pendek

Sekiranya penguasaan S & T jangka pendek melibatkan keseluruhan kaum yang ada dalam negara ini, maka bahasa Melayu mungkin melewatkan sedikit proses peguasaan S & T. Sekiranya program penguasaan S & T jangka pendek hanya tertumpu kepada satu kaum sahaja, misalnya kaum bukan Melayu, maka bahasa Melayu mungkin menjadi faktor pelewat. Sekiranya penguasaan S & T jangka pendek hanya melibatkan sektor S & T yang terhad, seperti perniagaan sahaja maka bahasa Melayu mungkin melewatkan proses tersebut.

Program penguasaan S & T melalui wahana bahasa Melayu yang melibatkan semua kaum di negara ini mungkin lembab di kalangan kaum bukan Melayu. Namun andaian ini pun telah dibuktikan oleh pengalaman Universiti Kebangsaan sebagai tidak tepat kerana ramai pelajar bukan Melayu yang dididik dalam bahasa Melayu mendapat Ijazah kelas yang tinggi. Faktor penyumbang kepada kejayaan ini mungkin boleh dikatakan bahawa kebanyakan buku rujukan utama masih banyak dalam bahasa Inggeris. Walau bagaimanapun tumpuan penguasaan jangka pendek lebih tertumpu kepada kaum bumiputra yang menguasai bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda. Penguasaan peringkat rendah mampu dilakukan oleh pendidikan tempatan yang menggunakan bahasa Melayu dan lebih berkesan dan merata memandangkan bahasa Melayu dikuasai secara fitri oleh semua lapisan masyarakat Melayu-Islam. Kedudukan istemewa bahasa Melayu tersebut tidak dapat didakwa oleh bahasa lain, termasuk bahasa Inggeris. Bahkan penggunaan bahasa Inggeris mungkin sahaja akan melambat dan melembabkan penguasaan S & T peringkat rendah memandangkan pelajar Melayu-Islam akan dibeban dengan usaha untuk mempelajari dan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris mereka di samping mempelajari S & T. Ini telah pun terbukti sebelum Dasar Pendidikan Kebangsaan dilaksanakan (atau lebih tepat lagi pra-UKM).

Pada peringkat yang lebih tinggi, penguasaan S & T mempunyai pengertian yang lebih daripada hanya menguasai sektor S & T yang terhad kepada sektor perniagaan sahaja. Bahkan penguasaan S & T lebih tertumpu kepada sektor pendidikan dan latihan sumber tenaga pada peringkat tinggi. Hal ini juga bermakna, antara lain, mendukung program bagi menghasilkan S & T asli yang mampu mendukung kosmologi, etika dan budaya fikir Melayu-Islam. Penguasaan S & T melibatkan keupayaan menentukan agenda cendekia dan wacana sains yang mendukung paradigma Melayu-Islam. Kesemua ini hanya mungkin disemai dan dipupuk melalui bahasa Melayu. Bahkan ketahanan dan nasib S & T Melayu-Islam jangka panjang bergantung kepada keupayaan tersebut.

Mitos VI: Bahasa Melayu bergantung kepada nasib S & T Melayu-Islam

Sekiranya S & T warga Melayu-Islam telah berada di tempat tinggi dan para ahli S & T dan Melayu-Islam amnya masih mampu bercakap atau berbudaya bahasa Melayu baku, maka benarlah bahasa Melayu bergantung kepada nasib S & T Melayu-Islam. Sekiranya benar bahasa Melayu bukan faktor kritis dalam pembudayaan S & T warga Melayu-Islam, maka nasib S & T Melayu-islam sebenarnya membantut atau tidak dapat membantu kedudukan bahasa Melayu. Sekiranya nasib S & T Melayu-Islam terbela melalui wahana bahasa lain, maka bahasa Melayu terbukti tidak begitu penting.

Meletakkan nasib bahasa Melayu sebagai subjek kepada nasib S & T Melayu-Islam bukan sahaja janggal dari segi mantiknya bahkan sukar dipertahankan secara ilmiah. Pembudayaan S & T merupakan syarat ketahanan S & T Melayu-Islam. Bertolak daripada hujah tersebut, pra-syarat pembudayaan ialah wujudnya wahana bahasa yang mantap, yaitu bahasa Melayu. Oleh yang demikian, nasib bahasa Melayulah sebenarnya yang menjadi penentu kepada nasib S & T Melayu-Islam dalam waktu jangka panjang.

IV. Akta Pendidikan 95/96 dan Mitos

Dalam konteks tiga premis yang disebut pada awal makalah ini, Akta Pendidikan 1995, Akta Pendidikan dan Kolej Universiti 1995, Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 dan Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara 1996 (ringkasnya, Akta Pendidikan 95/96) seharusnya mempunyai tugas menentukan kejayaan perlaksanaan premis itu. Tugas demikian tidak mungkin tercapai sekiranya mitos-mitos bahasa masih terungkai dalam lipatan klausa-klausa Akta tersebut seperti yang ada sekarang.

Kedudukan bahasa Melayu tidak mungkin dapat terpelihara daripada terhakis sekiranya mitos-mitos tersebut mempengaruhi jiwa Akta tersebut. Mitos-mitos itu akan menjadi penghalang halus kepada peningkatan peranan bahasa Melayu dalam pendidikan S & T dan sebagai wahana unggul wacana S & T di setiap peringkat. Mitos tersebut hanya dapat dihalang sekiranya kedudukan dan peranan bahasa Melayu dalam S & T harus diukir dengan sejelas-jelasnya dalam klausa-klausa Akta tersebut tanpa memberi ruang kepada kekeliruan dan kekaburan, malah ruang menyingkir atau meminggirkan bahasa Melayu.

Sebab itulah Akta Pendidikan 95/96 tidak harus terperangkap dengan mitos-mitos yang telah dibincangkan di atas, bahkan Akta Pendidikan 95/96 terutamanya harus menidakkan dengan sejelas-jelasnya segala mitos IV hingga VI di atas. Antaranya dengan merakamkan kepentingan bahasa Melayu sebagai faktor kritis dalam pembudayaan S & T. Akta Pendidikan 95/96 harus menidakkan dengan setegas-tegasnya akan anggapan bahawa syarat bahasa Melayu merupakan faktor pelewat penguasaan S & T dalam konteks jangka pendek. Akta Pendidikan 95/96 itu harus membetulkan hujah songsang bahawa nasib bahasa Melayu bergantung kepada nasib S & T Melayu-Islam. Bahkan sebenarnya nasib S & T Melayu-Islam bergantung kepada nasib bahasa Melayu semasa dan akan datang.

Nasib S & T Melayu-Islam

Pada umumnya Akta Pendidikan 95/96 cenderung kepada pemupukan dan penggalakan pendidikan S & T di kalangan rakyat Malaysia. Hasrat pembudayaan S & T secara menyeluruh terutamanya melalui wahana pendidikan terukir pada klausa-klausa akta tersebut. Mekanisme pembudayaan, khususnya dalam konteks umat Melayu-Islam, walaupun tidak dinyatakan secara terang-terang, namun jelas berteraskan kepada konsep praktis dan pragmatis. Keluwesan dari segi mekanisma melaksanakan pendidikan dan pembudayaan S & T di kalangan warga Melayu diakui sememangnya amat penting. Keluwesan tersebut perlu bagi memberi ruang kepada penyesuaian yang perlu dilakukan mengikut perubahan dan tuntutan keadaan semasa.

Dalam Akta Pendidikan 95/96, ikatan bahasa Melayu dan pembudayaan S & T tidak terserlah. Hal ini mungkin kerana bahasa Melayu dan pembudayaan S & T dianggap bukan faktor kritis dan tidak ada hubungan wajib antara kedua-duanya. Bahasa dianggap hanya sebagai aspek mekanisma perlaksanaan dan bukan wahana wajib bagi mencapai maksud pembudayaan S & T di kalangan umat Melayu khususnya. Anggapan ini ialah sebahagian daripada mitos bahasa yang telah dikupas awal perbincangan tadi. Atas sebab epistemologi dan juga alasan sosiologi ilmu, pemisahan antara bahasa dan pembudayaan S & T tidak dapat dipertahankan secara ilmiah. Keperluan kepada bahasa Melayu, terutamanya dalam pembudayaan S & T yang serasi dengan akal budi orang Melayu dan Islam hanya berkemungkinan besar berjaya melalui wahana bahasa Melayu, dan tiada kebarangkalian berjaya sebaliknya. Hal ini kerana bahasa Melayu merupakan lingua franca dan media fitri bagi kosmologi Melayu-Islam. Hakikatnya ialah akal budi Melayu hanya terpupuk dengan selesa melalui bahasa Melayu. Bahasa Melayu walaupun digunakan dalam konteks wacana sains, namun masih mempunyai pertalian ontologi dan semantik dengan agama Islam dan kosmologi Melayu. Bagi orang Melayu yang dibesarkan dalam bahasa Melayu dan dibudayakan melalui wahana bahasa Melayu ikatan kosmologi dan agama tetap dirasakan walaupun dalam hal membincangkan teori sains yang amat konkrit dan sekular. Ikatan seperti ini, bagi orang Melayu, tidak wujud dalam bahasa Inggeris.

Ditambah dengan faktor sosiologi, bahasa Melayu memanglah merupakan bahasa ibunda sebahagian besar muslim di Malaysia dan sebarang pendidikan S & T dalam bahasa tersebut yang sampai kepada setiap lapisan dengan kadar yang lebih mudah dan merata,berbanding dengan wahana bahasa Inggeris yang secara tabiinya tumpuan hanya pada strata warga Melayu yang terhad. Penguasaan bahasa Inggeris di kalangan warga Melayu-Islam di Malaysia ini jelas tidak menyeluruh, dan tidak akan menyeluruh sebagimana yang sudah terbukti di negara-negara lain seperti India,filipina dan negara-negara yang menjadikan bahasa penjajahnya (bahasa asingnya) sebagai wahana pelaksanaan dasar pendidikan kebangsaannya. Bahasa Inggeris hanya mampu menjadi wahana segelintir warga Melayu. Oleh yang demikian, bahasa Inggeris tidak mungkin dapat membudayakan S & T di kalangan warga Melayu-Islam sama ada daripada segi bilangan mahu pun daripada segi akal budi. Hal ini menjadi bertambah rumit sekiranya soal pemupukan, penggalakan dan penserataan S & T di kalangan warga Melayu-Islam diambil kira. Sekali pun kita mengakui bahawa ramai antara para ahli S & T Melayu semasa telah mendapat pendidikan tinggi di luar negeri dan dididik dalam S & T melalui wahana bahasa Inggeris sekurang-kurangnya di peringkat universiti, namun jumlah yang ramai itu tidak boleh disamakan sebagai kejayaan dalam pembudayaan S & T di kalangan warga Melayu. Kejayaan pembudayaan S & T bukan sekadar melibatkan peningkatan jumlah ahli S & T Melayu. Pembudayaan S & T , antara lain, melibatkan keupayaan umat Melayu untuk menghasilkan sains yang mencerminkan akal budi dan kosmologi Melayu. Penghasilan sains seperti itu merupakan antara prasyarat kepada penghasilan teknologi peribumi yang tulen dan bukan sekadar penerusan teknologi pinjaman hasil budaya fikir asing. Sains dan teknologi peribumi membawa takrif bahawa S & T yang dibentuk, dipupuk, dijustifikasi dan diwacanakan melalui wahana bahasa ibunda atau bahasa nasional.

Saranan Tindakan
Sebarang akta pendidikan harus menjadi benteng yang mengikat pengawal dan barisan pertahanannya pada tapak kedudukan mereka dengan penuh waspada. Akta pendidikan Malaysia mestilah secara terang-terangannya mempertahankan penggunaan bahasa Melayu sebagai wahana unggul ilmiah, terutamanya sebagai media wacana eksklusif S & T dalam bidang pendidikan dan perindustrian di rantau ini.

Antara tindakan yang perlu dilakukan bagi mempertahankan penggunaan bahasa Melayu dalam S & T melalui akta adalah tidak jauh daripada kaedah tindakan mempertahankan barangan dan barang keluaran negara melalui akta perdagangan. Dalam akta perdagangan, beberapa tindakan melalui alat tarif dan cukai digunakan bagi menjaga kedudukan barang pembuatan kita yang baru bertapak di pasaran. Bagi memasarkan bahasa Melayu dalam arena S & T amnya dan arena pendidikan S & T khasnya, gagasan akta harus memperlihatkan keupayaan untuk membuat tindakan afirmatif dan diskriminasi positif bagi keuntungan bahasa Melayu dalam S & T. Bahkan akta seumpama itu harus mengikat kuasa politik semasa, seperti Menteri, tanpa ruang pilihan yang terlalu longgar seperti akta sekarang, untuk bertindak dan sentiasa membuat keputusan yang menyebelahi peranan unggul bahasa Melayu dalam S & T.

Kepentingan bahasa Melayu dalam S & T bukan sekadar soal sentimen atau soal memenuhi selera pengundi Melayu. Kepentingan bahasa Melayu mempunyai sebab yang bercambah daripada asas epistemologi hingga ke keperluan sosio-ekonomi jangka panjang. Pembudayaan S & T di kalangan warga Melayu dalam ertikata yang sebenarnya tidak mungkin tercapai melalui wahana bahasa lain.

Oleh demikian para penggubal dasar harus meneliti semula dan mempastikan bahawa gagasan akta pendidikan memiliki sekurang-kurangnya tiga sifat berikut:

(i) benteng bahasa Melayu

(ii) bersih daripada mitos-mitos bahasa
 
(iii) mampu memupuk, memelihara, menjamin dan mengukuhkan hal-hal berikut:

a. Pembudayaan S & T yang serasi dengan etika dan akal budi/kosmologi Melayu-Islam.

b. Penguasaan S & T di kalangan warga Melayu-Islam.

c. Penyerataan prasarana S & T di kalangan warga Melayu-Islam.

  @@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

sebahgaian besar daripada isi makalah ini telah muncul dalam
ASASAINS, warkah Berita ASASI, bil. 2/1996 & 1/1997.

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@