Make your own free website on Tripod.com
PERUTUSAN HARI RAYA DARIPADA PRESIDEN ADIL

Kepada saudara-saudara dan saudari-saudari rakyat Malaysia yang beragama Islam dan kepada semua pendukung Gerakan Reformasi sekalian.

Bagi pihak ahli-ahli jawatankuasa penaja Pergerakan Keadilan Sosial Malaysia (ADIL) saya mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua.

Sempena Hari Raya Aidil Fitri yang mulia ini, marilah kita sama-sama saling memperteguh tali silaturahim di antara kita serta memperkuatkan lagi keazaman dan iltizam kita untuk meneruskan perjuangan bagi menegakkan sebuah masyarakat yang memuliakan kedudukan manusia di dalam segala urusan pentadbiran masyarakat dan negara.  Tidak kurang pentingnya ilah perjuangan kita semua bagi memberikan sebuah kemerdekaan yang bermakna kepada setiap rakyat negara ini; melaksanakan keadilan bagi setiap kelompok, kaum dan lapisan masyarakat; menegakkan institusi undang-undang dan kehakiman yang bebas, telus dan luhur;  mengukuhkan jatidiri bangsa dan budaya Malaysia yang dinamis dan progresif; serta menguatkan lagi persaudaraan, persefahaman, dan kerjasama di antara setiap kelompok dan lapisan masyarakat.

Bagi pihak ADIL, saya tidak lupa mengucapkan Selamat Hari Raya kepada hampir 1,000 orang individu yang tidak berdosa yang telah ditangkap di bawah ISA ataupun ditahan reman diseluruh negara sepanjang dua bulan selepas peristiwa pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada 3 September lalu, di mana sewaktu berada di dalam tahanan mereka telah diberikan layanan yang mencabuli hak-hak asasi mereka sebagai manusia dan sebagai rakyat sebuah negara yang mengaku mengamalkan keadilan, demokrasi dan Islam sebagai agama rasminya.  Ini tidak termasuk berpuluh-puluh ribu lagi yang mengalami pelbagai kecederaan jasmani akibat terkena serangan kasar, semburan gas beracun dan air berkimia daripada mereka yang diperalat oleh individu-individu yang berkuasa memerintahkan orang-orang bawahan mereka melakukan kekejaman dan kezaliman ke atas rakyat yang berhimpun secara aman semata-mata dengan niat suci menuntut keadilan dan membela hak-hak asasi kemanusiaan.

ADIL juga mengucapkan Selamat Hari Raya kepada beratus-ratus ribu lagi rakyat Malaysia yang telah menghadiri perhimpunan-perhimpunan aman, baik sebelum penangkapan bekas Timbalan Perdana Menteri di bawah ISA, mahupun selepas itu.  Kehadiran mereka di dalam perhimpunan-perhimpunan aman itu adalah sumbangan yang besar maknanya kepada perkembangan sejarah politik dan sosial negara ini kerana ia adalah manifestasi ombak kesedaran dan penentangan rakyat terhadap pelbagai salah laku yang diamalkan oleh mereka yang berkuasa memerintah negara ini.

Saya juga mengambil kesempatan ini menyampaikan kiriman salam dan ucapan yang sama daripada suami saya di Penjara Sungai Buloh.  Beliau mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih di atas beribu-ribu kad-kad ucapan yang diterima dari seluruh pelosok tanah air dan luar negara.  InsyaAllah saya dan anak-anak akan mengunjungi beliau dan berhari raya di penjara pada hari pertama Syawal.  Pada sebelah petangnya dari jam 2.00 petang hingga 7.00 petang, saya menjemput saudara-saudara dan saudari-saudari, sudilah datang ke rumah No 8, Jalan Setiamurni 1, Bukit Damansara. Kuala Lumpur.

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI.  MAAF ZAHIR BATIN
 

Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden Jawatankuasa Penaja ADIL